dengarlah wahai anakku

andai bulan itu bersinar malam ini
tidak semestinya sinarnya akan kembali siang nanti
apabila siang tiba,sinar mentari pula memancar
ada kegembiraan apabila dunia kembali terang

namun,masih ramai yang sukakan malam
kerana malam itu ada bintang-bintang
yang menari di kaki langit
dan ada yang suka melihat bulan purnama

dengarlah wahai anakku
bulan tiada cahaya sendiri
itu bukan cahayanya
tapi pantulan dan pinjaman
dari terangnya mentari

dengarlah wahai anakku
nyawa yang ada pada kita
bukanlah nyawa kita sendiri
namun adalah pinjaman dari Ilahi
buat memantulkan kembali kalam Tuhan
ajaran wahyu yang diturun pada Nabimu

dengarlah wahai anakku
dunia ini begitu mencabar sekali jika kau mengetahui
ada yang terjatuh ada yang tersungkur
hanya kerana tergesa-gesa ingin memiliki bahagia
sedang kita boleh memilih untuk merancang
dan berhati-hati bila melangkah

dengarlah wahai anakku
jangan kau cuba melakukan perubahan
tatkala dirimu belum lagi berubah
hijrahlah,berjihadlah,bertaqwalah
dengan itu kau dekat dengan redha Allah

dengarlah wahai anakku
ayahmu kan pergi jauh
mungkin tidak lagi akan kembali
tapi percayalah walau bulan tidak kelihatan
masih ada bintang-bintang yang kecil menemanimu

oleh itu jangan sentiasa mencari alasan
untuk kau lari dari perjuangan
padahal kau boleh temui seribu keyakinan
bahawa Allah membuka ruang yang luas
buatmu berjuang

dengarlah wahai anakku
tenangkan hati dan jiwa mudamu
kebanyakan hikmah ada dalam ketenangan.

IBN MUKHTAR
(26 Nov 2006-5 Zulkaedah 1427)