bapa-bapa kita


puisi versi audio


di padang hijau anak-anak kita bermain ria
di ufuk ungu bapa-bapa kita duduk termangu
mengenang nasib anak bangsa jiwa agama

dulu bapa-bapa kita menghunus keris keras
pada muka penjajah-penjajah dayus
membawa gerombolan meriam api

dulu bapa-bapa kita mendaki gunung tinggi
buat berguru menanam ilmu dalam dada
agar berjuang penuh iman dan taqwa

kini bapa-bapa kita hidup merdeka
atas usaha mereka dan bapa-bapa mereka
kini bapa-bapa kita punya juang dua tiga dan empat

bapa-bapa kita bercakar sesama sendiri
atas kata-kata mahu membangun anak-anak kita
maka pantullah bicara gaduh-gaduh
atas perjuangan yang tak sama

masing-masing mahu acuan sendiri dijaya
apa yang dicita adalah untuk anak-anak kita
atau adakah untuk diri mereka sendiri

wahai anak-anak yang muda
tiada yang dapat mengubah nasib kita
melainkan kita sebagai orang muda sendiri

siapa yang boleh memperjuangkan kebahagiaan kita
melainkan kita sendiri menjadi pejuang muda
turutlah kata-kata bapa-bapa kita dulu
yang ikhlas berjuang demi meraih redha Ilahi semata

jangan menurut jiwa gila sang bapa-bapa kita
yang berhujah bagai meneriak sakan
namun mereka hanya pandang kita sekilas lalu
nak mendekati kita haram tak dibuatnya

hamburlah wacanamu wahai bapa-bapa kita
hamburlah kutukan dan tuduhan sesamamu
atas dasar mahu perjuangkan apa kamu berseteru?
kamu hanya menjadi bahan aib buat kita
buat anak-anak kita

sepanjang zaman

dengan itu hadirkan dirimu wahai pejuang muda
kita seru perjuangan asli atas paksi hijrah,jihad,dan dakwah
jadilah kita bapa-bapa yang berguna
buat anak-anak kita semua

IBN MUKHTAR
(17 disember 2006)

No comments: