hikmah lembut kasar

hari ini aku mendengar dari mereka
"dakwah islam itu tersebar dalam dua bentuk"
dakwah yang tersebar dengan kasih sayang atau kelembutan
juga dakwah yang tersebar dengan kekasaran
kalau mereka perincikan apa yang mereka perkatakan
itu adalah lebih baik buat mereka
tetapi kasihan diri mereka
tidak sentiasa bercakap secara keseluruhan
dan perincian diperbuat atas kejahilan perbuatan

pernah aku mendengar si pope berkata
" islam tersebar dengan mata pedang"
atas kata-kata itu si pope dikecam lalu menjadilah cuak akan ia
maka bangkitlah para pejuang islam, lalu berkata
"islam tersebar dengan kasih sayang"
itu tidak aku hairan, kerna manusia yang mana suka akan agama kasar?
manusia yang mana yang mencari untuk dicelaka?
manusia yang mana yang merindu laknat-laknat?

benar, tiada manusia suka dicelaka dilaknat atau dikasari
namun begitu ramainya manusia suka mencelaka, melaknat, dan mengasari
fitrahkah sifat itu ataupun fitnahkah ia?
lalu berkata beberapa manusia, fitrah manusia berasa marah
berhujah akan itu, mereka pun menjadikan marah jalan hikmah
"ini jalan berdakwah hikmah," kata mereka
mari renung sebentar, mari fikir sejenak
berapa ramai yang faham marah yang hikmah itu?
ramai yang tahu bercakap soal marah juga hikmah
namun langsung tidak hikmah meletakkan marah mereka
lalu bangkitlah golongan yang berdakwah dengan kejian

atas tindakan mereka, dengan nama Allah
berkata mereka, "kamu beruk dan tapir, otak bodoh lagi dungu..
..kembalilah pada islam dan iman"
kasihan para pendakwah hikmah kejian
atas kefahaman mereka marah juga hikmah
berkasar juga hikmah
maka mereka terpesong berdakwah hikmah kejian
dalam benak mereka fikir akan berbondonglah orang pada mereka
dengan panggilan merendah-rendahkan manusia
dengan panggilan mengejek dan mengeji
kasihan pendakwah kasihan

mari aku kisahkan pada kalian
akan pemikiran retorik dan fantasi aku yang hina ini
marah yang hikmah itu adalah marah atas kasih sayang
seorang bapa memarahi anaknya
atas kerna kasih sayang
apa kalian akan fikir si bapa memarahi dengan kejian
maka si anak akan terdidik dengan kasih sayang?
tidak, akan tetapi si bapa memarahi atas kebenaran
supaya anak menjadi insaf dan lembut hati
marah yang berakhir dengan kelembutan hati mad'u
marah yang berakhir dengan rapatnya silaturrahim
marah yang berakhir dengan berkasih sayangnya sesama manusia
itulah dakwah marah yang hikmah
jika kalian mengetahui

belajarlah belajarlah cara nabi marah
apakah kalian lupa bagaimana nabi menguruskan marah baginda?
tidakkah hendon yang zalim yang datang pada nabi itu
yang datang mahu tunduk pada Allah itu
boleh saja dimarahi atau dilaknat oleh baginda?
adakah kalian mengambil iktibar
bagaimana menahan marah pada si zalim yang insaf?
adakah kalian masih mahu berkata
"tiada maaf bagimu" pada si jahil yang celupar
yang telah meminta maaf
atau kalian harus bertindak membimbing dari saat itu

sungguh mereka itu sering saja tidak menimbang isu
mengkaji mengikut rentetan
jika mereka mengikut rentetan pastinya mereka akan nampak
tatkala seorang saudara kita terlanjur perbuatan
maka bersegeralah kita menegur dengan tegas
tatkala yang terlanjur menjadi insaf atas teguran
maka bersegeralah kita mendidik dan membimbing
pada si jahil yang terlanjur ditarbiyah
pada si jahil yang lain dicegah

apa kalian fikir hendon yang membunuh hamzah itu
telah diejek dan dicelaka selepas menerima hidayah?
sungguh kalian sudah hilang akal
sungguh kalian menurut hawa nafsu
jangan kalian mendabik dada arif sirah
andai kalian tak pernah ambil iktibar dari sejarah

apa kalian fikir akan si gadis yang tersepit dalam dilema
setelah digoda dan dinoda maruah
mengandung akan anak luar nikah
menangis tersedu sedan minta panduan
maka datanglah manusia pendakwah hikmah kejian
untuk mentarbiyah si gadis telah dicelaka dan dikejinya
maka apa kalian fikir si gadis akan insaf diri?
atau hanya akan membunuh diri?

apa kalian fikir akan orang-orang kaya yang sesat
diperlihatkan ia kekayaan dan kekuasaan tanpa had
apa kalian akan berdatangan memberi nasihat,
atau berdakwah hikmah kejian dengan memanggil keparat
lalu kalian mengejeknya boroi yang bulat
kalian fikir si kaya akan membayar zakat?
atau terus diumumkan saja olehnya sudah murtad

jangan kita halau saudara kita dari hidayah
panggillah panggillah dengan hikmah
serulah serulah pada hidayah Allah
sebahagian kata-kata kita ancaman dari Tuhan
kita seru dengan tegas atas kerna sayangkan umat
bukan seru dengan kasar untuk memurtadkan umat
lalu kita mendabik dada, "aku seorang saja muslim yang hebat!"

ini kisah hikmah lembut kasar
kita berlembut untuk kasih sayang
kita bertegas untuk kasih sayang
maka bersesuaianlah akan kata-kata kita
"islam tersebar dengan kasih sayang"
semoga kata-kata ini penuh hikmah buat kita

IBN MUKHTAR
(16 Februari 2007)

No comments: