Benarkah Kau Perjuangkan Islam & Iman?

kau menulis buku
kau menjualnya
setiap hari kau promosi bukumu
akhirnya orang berkejar
untuk memiliki bukumu
orang berbicara tentang bukumu
namun, pernahkah kau sedar
apa perjuangan kau
dalam promosi kitab Tuhanmu
Al Quranul Karim
pernahkah kau sedar
berapa persen peminatmu berkejar
memiliki nur kitab Tuhanmu
atau mereka sudah lama
langsung tidak menyentuhnya
apalagi membaca dan menghafalnya

kau menyanyi bait-bait lagu
kau menjual albummu
setiap hari kau promosi albummu
akhirnya orang gilakan lagumu
tidak lekang dari siulan melodinya
namun pernahkah kau sedar
apa perjuangan kau
dalam promosi zikir dan doa
buat mengingati Tuhanmu
buat mencontohi Rasulmu
pernahkah kau sedar
berapa persen peminatmu berkejar
membasahi lidah mereka dengan zikir
memohon doa dari doa-doa ma'thur

kau berpidato buat kempen partaimu
setiap hari kau menjaja nama kumpulanmu
kau berusaha mengumpul seramai mungkin
penyokong dan pengikut
kau menerima siapa saja asal
mengundi buatmu, mengangkat dirimu
namun pernahkah kau sedar
apa perjuangan kau
dalam memperkenalkan Allah
membawa manusia kepada Allah
mengangkat kalamAllah
bukan dirimu
memuja Allah
bukan dirimu
keluar ke jalan Allah
bukan jalan-jalan yang dimurkai
dan bukan pula jalan orang yang sesat
pernahkah kau sedar
berapa persen pengikutmu
menjadi orang-orang yang bertaubat
dan berserah diri

benarkah kau
seorang pejuang
yang memperjuangkan
Islam & Iman
jika kau tidak pernah hadirkan
Islam & Iman dalam
dirimu sendiri.

IBN MUKHTAR
12 Mei 2009

No comments: