Kau Cakap Tapi Kau Tak Perbuat

Hari ini banyak sekali kau cakap
berapa pula hal kau cakap itu
kau perbuatkan, sudah kau lakukan

jangan cakap tapi kau tak perbuat

kau kata kau kasih orang miskin
berapa banyak pertolongan
kau salurkan

kau kata kau sanggup berlapar
berapa banyak hari sudah kau puasa
kau takut puasa
kerana kau fikir puasa melemahkan
apa kau buta saranan buat
lelaki bujangan tak mampu bernikah
puasa jawapannya
itu menguatkan dirimu

kau kata kau sanggup bersedekah
berapa banyak hal yang kau cintai
kau sedekahkan buat saudara yang memerlukan
kau beri suatu yang kau tak perlukan
sedekah itu beri suatu yang kau cintai
bukan suatu yang kau tak ingini
atau sudah buruk pada pandanganmu

kau kata kau sanggup terluka di medan
berapa banyak kekuatan yang kau kumpulkan
atau kau lebih selesa duduk di zon selesamu
sambil berdegar-degar kau seru jihad fi sabilillah
hatimu tak terlintas apa-apa perancangan
untuk menyelamatkan saudaramu yang meronta
dibelasah kejam oleh sang kuffar yang laknat

hari ini kau cakap soal membersihkan hati
tapi hari esok kau penuhkan hati dengan iri
hasad, bongkak, degil, besar diri, riak, takabbur
langsung kau tak merendah hati depan Tuhanmu
sedang Allah melihatmu, melihat tembus hatimu
kau tak malu, atau kau memang muka tembok batu

jangan cakap tapi kau tak perbuat

selepas cakap, tanamlah azam
kau dahulu akan mula membuatnya
tidak tunggu, tidak diam lagi

IBNMUKHTAR

10 Mei 2009

No comments: