Berapa kau nak bayar Allah s.w.t?

Nak duit, aku nak duit
Tak ada duit, aku nak makan apa
Tak ada duit, aku nak bagi makan apa
keluargaku nak duit, bil-bil perlukan duit
semua perlukan duit, semua perlu dibayar
apa salah nak dengar nasihat,
bayarlah pada aku hingga aku cukup duit

aku belajar agama, bukan ada skill lain
agama modal mengajar,
kalau tak jadi ustaz sekolah agama,
aku hanya boleh jadi ustaz tv atau radio,
kalau tak ada gaji, tak ada elaun dibayar,
aku nak makan apa?

nak dakwah percuma alam maya
kalau tak cukup popular tak boleh buat duit,
biar dapat peminat taksub,
baru duit ruang iklan masyuk,
baru derma secawan kopi boleh disedut,
baru tubuh consultant, orang datang berebut.

kau suruh dakwah dipercumakan,
pijaklah di bumi nyata beb,
kau nak print komik dakwah pun perlu beli ink,
kau nak buat video dakwah perlu beli kamera,
kau nak tulis entri dakwah perlu kos internet,
kau nak pergi ceramah kena bayar tol,
kau laratkah bagi dakwah percuma beb?
lazatkah berkorban, kan lazat kfc dari berkorban

ini zaman semua kena pakai duit,
sekarang ikhlas hidup memberi dengan bayaran,
kau tak ada duit, tak payah mimpi nak dapat motivasi
kalau orang miskin itu hidup mudah putus asa,
tak payah aku bagi motivasi,
kalau orang kaya itu hidup bosan tak reti buat apa,
eloklah aku bagi cerah tujuan hidup,
orang kaya boleh bagi aku duit beb.

ini zaman realiti, tak boleh lari lagi,
kau sibuk jaja kempen gratis sana gratis sini,
siapa nak insaf dengan barang percuma,
orang insaf dengan bayar ESQ beratus ringgit beb,
sekarang nak kutip derma kena kumpul modal belanja,
sekarang nak sedekah kena bagi tisu percuma,
sekarang semua duit, tak ada duit tak jalan weh

tapi kalau semua benda yang kita nak dapat kena bayar,
berapa royalti sudah kita beri imam bukhari dan muslim,
percuma kumpul hadis dan dipetik merata dalam buku popular,

berapa kita nak bayar pada sahabat radiyallahu anhum,
yang berjalan berdakwah sampai ke negeri china
menyebar islam hingga sampai ke negeri kita,
padahal harga syurga begitu mahal tak terkata.

berapa pula nak kita bayar pada nabi s.a.w?
baginda rahmatan lil alamin,
rahmat itu berapakah harganya?

Lebih besar, adalah seluruh nikmat ini datangnya dari Allah,
berapa kau nak bayar Allah s.w.t?
punya berkira sungguh kau nak belanjakan sebahagian nikmat,
yang kau dapat percuma gratis itu,
ke jalan yang Allah redhai tanpa harapkan balasan dunia,
sungguh takut kau hilang rezeki padahal rezeki itu sudah ditentukan Allah,
jangan hadkan kebaikan itu hanya untuk yang berharta,
sebarkan kebaikan itu hingga sifakir miskin dapat bahagiannya.

tidakkah kau membaca hadis dari Tirmidzi,
Nabi berdoa, "Ya Allah, hidupkanlah aku dalam kemiskinan
dan wafatkan aku dalam kemiskinan
dan kumpulkanlah aku bersama orang-orang miskin.
"
Mengapa kau sibuk menjauhi orang miskin,
dengan sibuk meletakkan bayaran pada setiap kebaikanmu.
Bayaran adalah pintu pagar berkunci buat orang miskin menghampiri
Duit bukan segalanya

IBN MUKHTAR
1 Mei 2010

1 comment:

abuyon said...

salam sahabat,

Ada perkara perlu dibayar,
kita bayar

Ada perkara tak perlu dibayar,
kita tak bayar

Tiap perkara ada
tingkatnya

Maka tiliklah diri kita
di tingkat mana

Moga Allah merahmati
kita semua

Moga-moga