Puisi Respon Aku Sudah Tidak Berapa Melayu

Puisi Respon Aku Sudah Tidak Berapa Melayu

Aku sudah tidak berapa Melayu
Memang aku sudah kurang Melayu

Baju Melayu pun lama sudah tak dipakai aku
Pakai baju pun aku panggil "T-shirt" itu
tak panggil "Kemeja T" dalam bentuk baku
Apalagi aku sebut "air cond" atau "fridge" selalu
Tak sebut pun "pendingin hawa" dan "penyejuk beku"

Aku sudah tidak berapa Melayu

Bapaku punya ibu punya ibu punya bapa adalah Cina jitu
Ibuku punya ibu punya ayah punya ibu berdarah India dulu
Isteriku punya ibu dan ayah punya datuk dan nenek Jawa bukan Melayu

Memang aku sudah kurang Melayu

Bukan sebab aku tak mahu berbudaya dan beradat kaumku
Tapi memang satu kitab riwayat sahih adat dan budaya melayu,
aku tak jumpa dan tak tahu

Memang sudah aku aku kurang tak berapa Melayu

Kerana aku tak perlu
cukup apa yang diajar Allah dan Rasulku
untuk aku hargai saudara seketurunan itu,
sama dengan saudara seagamaku
untuk doakan hidayah buat maju
dunia dan akhirat selalu.

Tidak ada beza Arab dan bukan Arab
Tidak ada beza Melayu dan bukan Melayu
Hanya Taqwa yang patut kita buru.

IBN MUKHTAR
25 Feb 2013

p/s- ini adalah puisi respon kepada puisi Faisal Tehrani bertajuk "Aku Sudah Tidak Berapa Melayu" yang dideklamasi beliau semasa forum: “Say NO to Racism” pada 23 Februari 2013 di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Mont Kiara anjuran Islamic Renaissance Front dan Pusat KOMAS.

No comments: