MENANGKAN ISLAM DALAM SEMUA HAL


MENANGKAN ISLAM DALAM SEMUA HAL

Apabila kau berkata, katalah baik-baik,
kata-kata baik itu menangkan Islam.

Apabila kau berhujah, berhujah dengan nas dan ilmu,
nas dan ilmu itu menangkan Islam.

Apabila kau berpendirian, tegakkanlah yang haq,
menegak yang haq itu memenangkan Islam.

Apabila kau mahu membenci, bencilah semua yang bathil,
membenci dan mencegah bathil itu memenangkan Islam.

Apabila kau mahu menghukum, hukumlah dengan adil,
berlaku adil itu memenangkan Islam.

Apabila kau mendengar berita, siasatlah sungguh-sungguh
hingga kau pastikan sahih benar-benar sahih,
diam sebelum dipastikan sahih itu memenangkan Islam,
menyebar semua berita kau dengar itu sikap pendusta,
pendusta itu dimusuhi Islam.

Apabila kau berhadapan dengan bukan Islam,
tonjolkanlah keindahan Islam dari dirimu,
menyerlahkan keindahan Islam itu memenangkan Islam,
mengelakkan Islam difitnah,
membuka pintu-pintu hidayah buat teman bukan Islam.

Sungguh kiranya kau mahu memperjuangkan Islam,
perjuangkanlah hingga Islam menang,
bukan jadikan Islam itu melukut, bertepian hingga tenggelam.

Sungguh kiranya kau mahu memenangkan Islam,
maka menangkanlah sungguh-sungguh jelas nyata,
nyata pada perjuanganmu, idealismemu, nyata juga dalam akhlak dan hidupmu.

Sungguh akan tiba satu zaman kau melihat,
Islam dijulang untuk dimenang,
tapi Islam juga ditangguh untuk dilaksana.
Tidak melaksanakan selepas menang, mahupun
lebih buruk ditangguh untuk ditaati,
ketika usaha untuk menang.

Menangkanlah Islam dalam semua hal,
menangkan Islam dalam hidupmu,
Sudahkah Islam menang dalam hatimu,
atau kau memilih yang Islam larang sebagai cintamu.

IBN MUKHTAR
29 April 2013

No comments: