MEMBENCI MELAYU, CINA, INDIA

MEMBENCI MELAYU, CINA, INDIA

Percayalah,
kalau suatu itu tak baik,
semua orang tak suka,
dan tentu sekali jika baik,
semua orang suka.

Melayu yang korup itu Cina benci,
Bukan Cina saja benci,
Melayu dan India pun benci.
Cina korup, India korup pun
semua orang benci.
Korupsi itu yang dibenci.

Melayu yang malas itu Cina benci,
Bukan Cina saja benci,
Melayu dan India pun benci.
Cina malas, India malas pun
semua orang benci.
Bermalasan itu yang dibenci.

Melayu yang zalim itu Cina benci,
Bukan Cina saja benci,
Melayu dan India pun benci.
Cina zalim, India zalim pun
semua orang benci.
Kezaliman itu yang dibenci.

Percayalah,
fahami apa yang dibenci,
dan jangan membenci sesama kita.

Politikus Melayu yang jahat,
Politikus Cina yang jahat,
Politikus India yang jahat,
semua Melayu, Cina, India pun benci.
Kejahatan itu yang dibenci.

Percayalah,
kita tidak membenci suatu yang baik,
kita tidak membenci setelah tahu suatu itu baik,
kita tidak membenci apa yang sudah dijelaskan
dengan hujah dan fakta bahawa ia suatu yang baik.

Percayalah,
Islam itu baik,
Muslim yang mengamalkan Islam sungguh-sunnguh itu baik,
Muslim Berwibawa itu baik,
Syariat Islam itu baik,
Memperjuang, menegak dan memenangkan Syariat itu baik,
Melayu, Cina, India semua akan suka.
Semua tidak membenci apa yang baik.

Tapi kita,
yang tahu benda baik ini,
yang yakin benda baik ini,
yang iktikadkan benda baik ini
datang dari Tuhan,
telah gagal menjelaskan,
gagal menerangkan,
gagal mencerahkan,
gagal mengamalkan,
gagal memenangkan,
gagal menghidupkan,
gagal menjiwainya,
kerana kita gagal untuk berani.
Berani untuk buang kebencian,
dan tanamkan kecintaan.
Pada ISLAM.

Sungguh Islam itu akan mentautkan kaum di Malaysia.
Melayu, Cina dan India yang Muslim itu akan bersaudara.
Akan berkasih sayang. Akan memperbaiki Perlembagaan.
Lalu buat baik tanpa henti pada Non Muslim
agar mereka juga terbuka hati memeluk Islam.

Sungguh jangan kau lihat Melayu yang benci Melayu itu,
jangan kau toleh pada Muslim yang benci Muslim itu,
apatah lagi kau nak jenguk Melayu,Cina, India yang benci
mengikut ras dan darah keturunan itu.
Sungguh mereka itu bukan rakyat Malaysia.
Mereka adalah musuh rakyat Malaysia.
Mereka sombong dan berhati penuh kebencian.

Dakwahkan mereka, ajar mereka kasih sayang,
seru mereka peluk Islam sungguh-sungguh,
biar rasa bersaudara dan bersepakat.
Muslim sepakat Islam berdaulat.
Tiada benci, penuh cinta.
Ini Arus Baru Malaysia.

IBN MUKHTAR
6 Mei 2013

No comments: