SOLUSI POLITIK

SOLUSI POLITIK

Politik itu kotor
kerana pengotor-pengotor
sedang berlumur di dalamnya
Politikus yang kotor
mereka tak perjuangkan syariat
mereka takut syariat itu
tak lebih baik dari ideologi insaniah
mereka tak yakin syariat itu solusi
mereka takut bicarakannya,
mereka minta ia ditangguh untuk dibicara
mereka pengotor,
tuntas.
Penyokong yang kotor
mereka pengangkat politikus kotor
tanpa hujah, banyak putar
tuntas.

Orang bertanya apa solusi politik?
Solusinya mudah, fahami ciri pengotor
buang kekotorannya, bina politik suci.

Apa itu ciri pengotor?
Sudah dibilang tadi, tiada perjuangan menegakkan syariat.
Keduanya, banyak taksub pemimpin,
takut mengundur diri, cintakan jawatan.
Ketiganya, ada nilai dunia untuk dikejar pada jawatan.
Keempatnya, sombong dalam diri,
hingga asobiyyah pada jenama kumpulan.

Apa cara buangkannya?
Wajibkan perjuang syariat secara terang-terang,
tanpa takut tanpa gentar,
lantang dan berwibawa,
penuh yakin tamadun maju dengan teras syariat.
Syariat itu dasar tuntas quran, sunnah,
ia hukum, undang-undang,
ia adil penuh nas dan ilmu,
ia berkebajikan menyebar kecukupan seluruh insan.
Ekonomi sadaqah.
Selagi bicara syariat dianggap jumud,
dianggap perjuangan lapuk,
dianggap bukan sesuai zaman ini,
politik terus kotor.
Tuntas.

Kedua, gilirkan kepimpinan.
Adakan satu pelan umpama kontrak,
kontrak musyawarah bersama rakyat,
pelan solusi berfokus penyelesaian masalah,
hanya memimpin untuk selesaikan pelan,
tamat sepenggal, pelan langsai,
undur diri, tukar kepimpinan.

Jawatan bukan hak, ia amanah.
Selesai amanah, berani undur diri,
untuk apa berebut amanah,
padahal itu akan dipersoal setiap inci,
di akhirat,
hebat sangatkah upaya dirimu?
sampai rasa kau punya kelayakan
menunaikan semua pelan solusi rakyat.
Rakyat wajib berjiwa kepemimpinan,
satu masa umat perlukan kepakaranmu,
selagi rakyat terus pasif,
menyerah diri untuk dipimpin tanpa
ada jiwa siaga untuk memimpin,
umat akan derita, dijajah
manusia rakus, memfitnah, cerita dusta,
untuk kita percaya.
Kotor.

Ketiga, tiada gaji untuk sebarang jawatan.
Kerana ada gaji, maka manusia serigala itu
meleleh air liur berebut untuknya.
Orang bertanya, bagaimana seorang Perdana Menteri
untuk hidup? Ahli parlimen dan Adun?
Tiada gaji untuk mereka.
Yang ada, hanya bantuan harian dan servis percuma.
Mungkin sekampit beras sebulan, lauk cukup zat sebagai santapan,
kalau sakit, servis perubatan percuma,
anak nak ke sekolah, bantuan persekolahan percuma.
Tiada gaji, hanya bantuan.
Dari ihsan rakyat, dari dana cukai negara.
Siapa sudah terima jawatan, wajib hidup secara qanaah,
hidup hanya mencukupi untuk hidup,
biar mereka tak mewah dunia, asal mewah pahala
berkhidmat untuk rakyat.

Orang bertanya, maka siapa yang sanggup menerima
jawatan-jawatan kepimpinan negara?
Jawabnya mudah, hanya mereka yang mencintai pahala
berkhidmat untuk rakyat akan terima,
mereka yang cinta rasuah, cinta dunia, cinta mewah,
semua akan tolak dan lari.
Orang bertanya, apakah nanti rasuah lebih berleluasa,
kerana Ahli parlimen dan Adun itu 'miskin'?
Itulah gunanya mereka 'miskin', agar mereka nak
bergerak, aktiviti mereka, ke mana dan apa yang dibuat,
semua dikawal ketat, dan mereka tak mampu lari ke mana,
kerana mereka tiada wang malah kenderaan sendiri
untuk itu.
'Miskin'kan pemimpin, negara akan kaya.
Gilirkan kepimpinan, agar semua rakyat rasa hidup
miskin, hidup hanya untuk berkhidmat,
langsai amanah sepenggal.

Keempat, buang rasa kesombongan.
Hanya kerana ada rasa mahu menyombong,
maka adanya penghinaan buat orang lain,
akan ada provokasi, cacian dan kejian.
Tidak ada rasa malu memandang rendah orang,
padahal kita tak siasat dan tak reti satu hal
tentang orang itu.
Berlagak pandai, tapi pandir.
Sudah sombong, jadi bodoh.
Sudahlah.
Rendahkan dirimu, penuhkan hidupmu
dengan kesopanan.
Tunduk tawadhuklah.
Kita semua hanya hamba Allah
yang lemah.
Jika tiada orang sombong, politik pun jadi suci.
Pemimpin tak mahu sombong,
pengikut lebih lagi, jangan sombonglah!

Itu solusi.
Yang terdedah untuk diamalkan.
Tapi mereka itu takut mengamalkannya.
Kerana mereka itu bukan saja pengotor.
Mereka itu malah sudah tertutup
untuk dibersih dan disucikan.
Kita doa moga semua mereka bertaubat.
Jika tidak, moga mereka semua mati
dan tak wujud lagi di dunia ini.
Paling mudah adalah mengubah diri kita sendiri.
Adakah kita sedang jadi pengotor?
Pengangkat idea pengotor?
Pentaksub kekotoran?
Malah pengamal politik kotor berleluasa
setiap saat setiap inci.

Lihat diri kita,
adakah kita memperjuangkan syariat secara terang?
adakah kita sanggup mengundur diri dari jawatan?
adakah kita sanggup hidup qanaah tanpa gaji?
adakah kita sanggup buang kesombongan dan bertawadhuk?
Lebih utama, adakah kita sanggup bertaubat?
Itu solusi politik.
Politik kotor boleh jadi suci.

IBN MUKHTAR
4 Mei 2013

No comments: